DEFINISI PENTAKSIRAN PSIKOMETRIK (PPsi)
PPsi ialah suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan tret psikologi. Tret psikologi yang diukur merangkumi aptitud dan personaliti murid. Hasil dapatan PPsi dapat digunakan untuk membantu mempertingkatkan pembelajaran murid.
PPsi menggunakan instrumen pentaksiran yang tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran. PPsi mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran.
Manual Pentaksiran Psikometrik diedarkan kepada sekolah sebagai panduan melaksanakan PPsi.
UJIAN APTITUD KHUSUS
Ujian Aptitud Khusus ialah instrumen untuk mendapatkan maklumat khusus tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid.
Objektif Ujian Aptitud Khusus:
Mengenal pasti potensi murid pada peringkat umur tertentu.
Membantu guru mengenal pasti strategi, kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan.
Membantu murid mengenal potensi diri.
Meramalkan kejayaan murid dalam alam pembelajaran dan kerjaya.
Konstruk Ujian Aptitud Khusus:
Verbal Linguistik (cerdas perkataan): keupayaan seseorang individu menggunakan bahasa, memahami maklumat dan memberi respons dalam pelbagai bentuk set komunikasi.
Visual – Ruang – Bukan Verbal (cerdas visual dan ruang): keupayaan seseorang individu mengguna, menganggar dan mengintepretasi ruang.
Logik Matematik (cerdas nombor): keupayaan seseorang individu menggunakan nombor dalam kehidupan seharian untuk membuat penyelesaian secara logikal.
Muzik (cerdas muzik): keupayaan seseorang individu menghargai, menghayati dan menggubah muzik.
Naturalis (cerdas alam semulajadi): keupayaan seseorang individu mengenalpasti, menghargai alam semulajadi.
Kinestatik – Jasmani (cerdas jasmani): keupayaan seseorang individu mengawal dan memahami pergerakan tubuh.
Interpersonal (cerdas sosial): keupayaan seseorang individu berkomunikasi, berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain.
Intrapersonal (cerdas kendiri): keupayaan seseorang individu memahami dan menilai kekuatan, kelemahan, bakat dan minat kendiri.
Existential (cerdas kewujudan) : peka dan berkebolehan membincangkan hal-hal kewujudan seperti mencari makna dalam kehidupan.
Pelaksanaan Ujian Aptitud Khusus:
Instrumen Ujian Aptitud Khusus disediakan oleh LP.
Ujian ini dilaksanakan kepada murid Tingkatan Tiga.
Ujian ditadbir oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling.
UJIAN PERSONALITI
Ujian Personaliti ialah instrumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang sahsiah unik setiap murid. Ujian personaliti terbahagi kepada dua inventori iaitu inventori tret personaliti dan inventori minat kerjaya.
Objektif Ujian Personaliti:
Membantu guru mengenal pasti personaliti murid supaya dapat merancang strategi PdP.
Membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti personaliti murid dan menyedari potensi diri.
Menyediakan profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan perkembangan individu mengikut keperluan.
Instrumen
Inventori Tret Personaliti
Konstruk dalam Inventori Tret Personaliti yang ditaksir adalah bersesuaian dengan budaya dan keperluan di Malaysia.
Inventori Minat Kerjaya
Konstruk dalam Inventori Minat Kerjaya yang ditaksir adalah berdasarkan Teori Tipologi Holland.
Pelaksanaan Ujian Personaliti:
Instrumen Ujian Personaliti disediakan oleh LP.
Ujian ini dilaksanakan kepada murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.
Ujian ditadbir oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling.
Pelaporan disediakan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan